Perdagangan Terengganu Catat Lonjakan, Imbangan Dagangan Naik 60.1 Peratus
DUNGUN – Program Yang Berhormat (YB) Bersama Rakyat di UDM Gong Pasir, semalam berlangsung dengan penuh kemeriahan, sekaligus berjaya merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
Program yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh bersama penduduk kampung ini diikuti dengan sesi minum pagi, memberi ruang untuk kepimpinan setempat beramah mesra sambil mendengar sendiri pandangan serta keluhan masyarakat.
Selain pengisian rohani, pelbagai aktiviti santai turut diadakan antaranya pertandingan motor lambat, permainan sepak raga, bola beracun serta khidmat tukar minyak hitam motosikal secara percuma yang mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk Gong Pasir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata program seumpama ini bukan sahaja mendekatkan kepimpinan dengan rakyat, bahkan menjadi salah satu platform penting untuk membina hubungan baik dan kefahaman antara satu sama lain.
“Program seperti ini akan diteruskan di kesemua kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ia menjadi peluang untuk saya bertemu dengan seluruh komuniti setempat dengan lebih dekat lagi, memahami keperluan mereka dan berkongsi rezeki serta kegembiraan bersama,” ujarnya.
Suasana harmoni dan mesra sepanjang program ini jelas menunjukkan betapa pendekatan turun padang mampu memperkukuhkan ukhuwah dan menyemai rasa kebersamaan dalam membina sebuah komuniti yang progresif dan sejahtera.