• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Permint Plywood Terus Melangkah Ke Hadapan


Oleh: Khairuddin Yusoff

PUTRAJAYA, 19 November- Permint Plywood Sdn. Bhd (PPSB) yang merupakan salah sebuah syarikat milik kerajaan negeri akan terus melakukan transformasi termasuk meluaskan pasaran ke luar negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Ustaz Haji Maliaman Kassim berkata, PPSB kini semakin mengorak langkah ke hadapan dengan pencapaian yang membanggakan menerusi usaha keras yang dilakukan oleh pihak pengurusan kilang papan lapis tersebut.

“Saya selaku pengerusi kepada PPSB merakamkan ucapan penghargaan kepada semua kakitangan PPSB dengan anugerah SIRIM 2018 ‘Chain Of Custody Of Forest Based Products’ menerusi persijilan Programme For The Endorsement Of Forest Certification (PEFC) yang berjaya dicapai.

"Semoga dengan anugerah ini menjadi suntikan semangat kepada semua kakitangan pentadbiran dalam meneruskan usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pencapaian keuntungan kepada PPSB yang boleh membantu kerajaan Negeri dalam sumber kewangan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menghadiri Majlis SIRIM Industri 2018 “Best Partner For Innovation" di Putrajaya Grand Ballroom, Putrajaya Marriot IOI Resort City, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Permint Plywood Sdn. Bhd, Haji Wan Shuhaimi Wan Aziz berkata, beliau berharap produk keluaran PPSB dapat dieksport ke luar negara yang mana dapat menjangkau keuntungan yang tinggi.

"Saya mewakili pihak pengurusan PPSB sangat berbangga dengan anugerah ini dan berharap dapat menembusi pasaran eksport ke luar negara dan dapat dijual dengan harga yang tinggi.

"Buat masa sekarang kita menghasilkan venir untuk pembuatan plywood dan juga woodchip dalam pembuatan fiber dan turut mengusahakan produk gaharu secara komersial dimana kita telah membeli sebanyak 1,000 pokok dari Ladang Karas Jabatan Hutan Merchang dengan jangkaan keuntungan mencecah RM500,000," ujarnya.

Menurut beliau, PPSB juga telah bekerjasama syarikat dari Melaka iaitu BioBenua Teknoloji Sdn.Bhd bagi menjual minyak gaharu yang yang diproses dari pokok karas.

Tag: