• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Permodenan Perikanan Mampu Tingkatkan Kerjaya Nelayan

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos- Kerjaya nelayan perlu dijenamakan semula sebagai kerjaya yang menjanjikan sumber kekayaan negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, sudah sampai masanya kerjaya itu ditingkatkan melalui permodenan teknologi perikanan.

"Kita di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dipertanggungjawabkan antara lain untuk membantu supaya dapat membawa kembali hasil perikanan kita dengan cara memperkenalkan permodenan teknologi perikanan baru yang secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai rakyat kita ke laut.

"Masalah utama berhubung dengan stigma, di mana ke laut dianggap miskin. Jadi, sudah sampai masanya dijenamakan sebagai kerjaya yang menarik minat golongan muda. 

"Di luar negara, nelayan merupakan kerjaya yang menjanjikan kekayaan. Malah, di negara-negara berkenaan ia dijadikan kerjaya yang menarik melalui rancangan-rancangan televisyen. Industri ini perlu diperkenalkan dengan metodologi perikanan serta kaedah yang mendatangkan lebih banyak hasil," katanya.

Ahmad Amzad.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pameran Maritim Malaysia bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som di galeri Skybridge, jambatan angkat Terengganu (drawbridge) di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim; Pengerusi dan Pengarah TI Properties Sdn. Bhd., Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Tambahnya, pelbagai agensi dan institusi telah menjalankan kajian-kajian hasil perikanan supaya meningkat.

"MOSTI juga telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk mengkaji permodenan ini yang melibatkan agensi seperti Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), MTEC- Micratesh Malaysia Sdn. Bhd. untuk mengenal pasti masalah dari segi modal dan sebagainya.

"Kita turut melibatkan kementerian pertanian dan kementerian kewangan dari segi pembiayaan," katanya.

Jelasnya, negara kehilangan hasil perikanan antara RM5 ke 6 bilion setahun dari segi hasil akibat pencerobohan nelayan asing dan kekurangan nelayan tempatan di perairan negara.

 


Tag: