• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Permohonan Bantuan i-Fitri Dibuka Esok

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Permohonan bantuan i-Fitri untuk seluruh rakyat Terengganu yang layak akan mula dibuka esok, 22 Mac pada jam 10 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, seramai 148,700 rakyat Terengganu akan menerima manfaat bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM56,442,500 bermula 17 April ini.

Katanya, bantuan RM400 diberikan kepada 128,450 isi rumah miskin manakala RM250 pula kepada 20,250 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.

"Tempoh permohonan Bantuan i-Fitri dibuka selama 10 hari bermula esok, pada 10 pagi sehingga 31 Mac ini.

"Pembayaran dijangka bermula seawal 17 April sehingga 23 April di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Pemohon yang berjaya akan menerima baucer melalui agihan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing," ujarnya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambahnya, pemohon mesti rakyat yang menetap di negeri ini dan berdaftar dalam sistem Profil Rakyat Terengganu 2020 (PRT20) juga pengundi berdaftar di Terengganu.

Dalam masa yang sama, semua penjawat awam dan lantikan kerajaan yang menerima elaun tetap bulanan adalah tidak layak memohon

"Ini termasuk kontraktor berdaftar adalah tidak layak memohon.

"Peniaga berlesen juga tidak layak memohon kecuali pendapatan jumlah pendapatan isi rumah memenuhi syarat kategori,"ujarnya lagi.

Katanya, pemohon yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan boleh memohon melalui portal
https://ibantuan.terengganu.gov.my