• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Permohonan Rumah Untuk Nelayan Dibuka

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Kerajaan negeri kini membuka permohonan rumah untuk para nelayan di Terengganu memiliki rumah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Projek Perumahan Semula Nelayan (PSN) di dua daerah iaitu di Beting Lintang, Besut dan Pulau Sekepeng, Kemaman itu hampir siap seoenuhnya.

"Harga kos hampir RM150,000 tapi kerajaan bagi kepada rakyat (nelayan) dengan harga RM54,000 sahaja. Bakinya kerajaan atau subsidi.

"Projek dengan biaya kerajaan negeri hampir RM20 juta dan dibantu kerajaan Persekutuan RM13 juta tidak termasuk kos tanah yang diberi percuma oleh kerajaan negeri," ujarnya melalui hantaran di facebook rasminya baru-baru ini.

Justeru katanya, bagi mana-mana nelayan yang berminat untuk memiliki rumah tersebut boleh mendapatkan borang permohonan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di tempat masing-masing.

"Antara syaratnya ialah rakyat Terengganu berusia 21 tahun ke atas, mempunyai kad nelayan dari Jabatan Perikanan, menjadi ahli PNK.

"Belum pernah memiliki rumah kediaman atau rumah terlalu uzur dan belum pernah memiliki tanah pemberian kerajaan," ujarnya.

Katanya, pojek itu telah dipecah tanah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian, Dr Ronald Kiande kira-kira dua tahun lepas.