• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pernah Dihina, Kini Masliza Teraju Mi Wantan Halal Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Walaupun pernah dihina namun wanita ini berjaya bangkit semula dan berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hari ini.

Pengasas Mi Wantan Annur, Nur Masliza Abdullah, 60, berkata, cercaan daripada seorang pelanggan dijadikan pembakar semangat untuk berusaha lebih keras.

Katanya, tanggungjawab sebagai seorang muslim menjadikan dia lebih kuat dan cekal tekad untuk menerokai pasaran mi wantan halal di Negeri Terengganu.

Beliau yang merupakan seorang muallaf berbangsa cina yang telah 27 tahun memeluk agama Islam, memulakan perniagaan membuat mi sejak 15 tahun yang lalu.

Puan Nur Masliza Abdullah
Puan Nur Masliza Abdullah.

"Kami sudah menceburi bidang ini selama hampir 15 tahun, bermula dengan berniaga kecil-kecilan bagi menjana ekonomi keluarga.

"Kelebihan produk kami ialah kami tidak menggunakan bahan kimia, sebaliknya hanya menggunakan bahan yang selamat dan organik.

"Mi kami menggunakan bahan seperti saffron, kismis, habatussauda, za'atar (oregano) dan air beralkali yang mengandungi natrium dan serta mineral lain," ujarnya yang kini mempunyai lapan pekerja.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah di Kilang Mi Wantan Annur miliknya yang terletak di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) Kubang Jela, Manir.

Menurut Masliza lagi, mereka menggunakan tepung tanpa peluntur yang diluluskan oleh SIRIM (Standard and Industrial Research Institute of Malaysia), bebas benzoate, asid borik, bahan pengawet, pewarna tiruan, plumbum dan sulfur.
 

Demonstrasi pembungkusan mi wantan.

Selain itu katanya, perencah mi tersebut juga turut menjalani proses Rnd (penyelidikan dan pembangunan) selama dua tahun dan tidak menggunakan MSG (monosodium glutamate).

"Produk kami semuanya dihantar untuk menjalani ujian makmal bagi memastikan ianya selamat untuk dimakan.

"Sebab itu produk kami boleh dimakan oleh kanak-kanak autisme ataupun ekzema," tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor bersama-sama ahli Persatuan Usahawan Wanita Negeri Terengganu (SAHANITA) telah mengadakan lawatan ke kilang tersebut.

Zuraida dan rombongan SAHANITA.
Ahli rombongan SAHANITA.

Zuraida memuji kerja keras pemilik Mi Wantan Annur dan menyifatkan usaha tersebut adalah sebahagian daripada jihad memartabatkan makanan yang halal dan toyyib (baik).

"Hari ini kita mengadakan kunjungan bagi menunjukkan sokongan kepada produk muslim di samping kita nak menjejaki usahawan wanita dalam Negeri Terengganu.

"Saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama menyokong produk yang berkualiti ini, insya-Allah ini sumbangan besar kita kepada agama kita," ujarnya.

Zuraida ketika mengadakan lawatan ke kilang pembuatan Mi Wantan Annur.