• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perpaduan Senjata Kemakmuran

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Perpaduan menjadi kekuatan utama dalam mencapai kemakmuran serta kesejahteraan negara sebagai negara berbilang kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, nikmat tersebut perlu dikekalkan bersama. 

“Kita sama menghayati erti sebenar kemerdekaan sejak 31 Ogos 1957. Ingatlah bahawa kemerdekaan yang kita kecapi hari ini tidak datang tanpa semangat juang yang tinggi. 

“Oleh itu kita mesti pertahankan kemerdekaan yang kita miliki selaras dengan tema kebangsan kali ini Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Sambutan Malam Ambang Merdeka sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 2022 di Dataran Muara Utara, KTCC di sini malam tadi.

Sambutan ambang kemerdekaan tahun ini kembali menjadi tarikan rakyat negeri ini apabila dua tahun tidak diadakan apabila dikekang pandemik Covid-19. 

Acara yang diadakan di dataran Drawbridge itu dimulakan dengan forum agama menampilkan mantan Mufti Terengganu, Dato’ Dr Zulkifli Muda dan Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang serta persembahan bunga api bagi memeriahkan suasana kemerdekaan.

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua-Ketua Jabatan. 

Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-65 peringkat Terengganu akan diteruskan dengan acara permbarisan dan kenderaan berhias sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.


Tag: