• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Persatuan Belia Disaran Lebih Kreatif Cari Dana

KUALA TERENGGANU, 9 Mac- Persatuan belia disaran agar lebih kreatif menjana pendapatan bagi membiayai pelaksanaan program atau aktiviti yang dianjurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persatuan belia merupakan satu entiti yang penting bagi memacu golongan belia ke arah kesejahteraan dengan penyediaan kemahiran kepimpinan, memupuk sikap bertanggungjawab, semangat patriotisme dan kesukarelawanan.

"Bagi mengerakkan program di peringkat persatuan, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan pentadbiran sebanyak RM1 juta melalui Majlis Belia Negeri Terengganu untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan belia di setiap daerah.

“Walau bagaimanapun, Persatuan belia tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada dana dari kerajaan itu sebaliknya mencari inisiatif sendiri untuk mendapatkan lebih dana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu di Restoran Matahari, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 11 badan gabungan dan 48 cawangan belia telah mendapat bantuan pentadbiran dengan jumlah keseluruhan RM103,500.

Menurut Wan Sukairi, bantuan yang disalurkan itu merupakan usaha kerajaan bagi meneruskan agenda pembangunan belia serta pemerkasaan persatuan belia.

katanya, pelbagai bentuk sokongan boleh dilakukan untuk mendapatkan dana antaranya melalui kerjasama dengan anak-anak syarikat mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan.

“Tidak semua program memerlukan peruntukan yang besar. Jika persatuan belia dapat berbelanja dengan baik dan tidak mengutamakan perkara yang tidak perlu, saya yakin penjimatan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Tambah beliau, persatuan belia juga perlu mendekati golongan sasar dari kalangan belia dan beliawanis dengan mengajak mereka untuk bersama-sama memperoleh manfaat melalui program yang dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Mohd Faizal Haron berkata, bantuan yang diberikan ini merupakan tanda kecaknaan dan komitmen kerajaan negeri buat persatuan belia Terengganu.

“Dengan pemberian dana pentadbiran ini pastinya akan melancarkan lagi urusan persatuan belia untuk bergerak aktif serta melaksanakan program belia dan kemasyarakatan sehingga ke peringkat akar umbi," ujarnya.