• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Persekolahan Di Terengganu Ditangguh Seminggu Susulan Banjir

KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 di Terengganu akan dimulakan pada 9 Januari tahun hadapan susulan ditangguh selama seminggu akibat bencana banjir.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, negeri tersebut telah disertakan dalam Kumpulan A bersama Johor, Kedah, Kelantan yang juga akan memulakan persekolahan pada tarikh sama.

“Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang Perak, Perlis Pulau Pinang Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan ini

“Walau bagaimanapun (keputusan ini) mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, guru-guru, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Hal ini juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pun sekolah yang terjejas teruk," katanya menerusi hantaran video di Instagram rasmi beliau.

Tambahnya, maklumat lanjut mengenal penangguhan sesi persekolahan itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.

Beliau berkata KPM cakna kepada kebajikan guru murid dan ibu bapa dalam konteks banjir semasa dan memaklumkan, kementerian itu memahami pihak terbabit memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum memulakan sesi persekolahan semula.