• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pertahankan Budaya Dan Warisan Bangsa





Oleh : Khairan Mat Jusoh

KUALA TERENGGANU – Masyarakat Melayu perlu memartabatkan seni budaya dan warisannya bagi menggelakkan nilai-nilai kemelayuan dalam diri orang Melayu terhakis.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata sekiranya masyarakat Melayu mengabaikan usaha untuk memulihara dan memupuk seni budaya dan warisannya, mereka akan ditelan zaman dan tiada identiti lagi.

“Kita sebagai penggiat, perlu untuk membawa seni dalam erti kata yang sebenarnya.

“Bukannya pada perkara yang melaghokan (melalaikan) tetapi seni boleh membawa kepada bagaimana untuk menghayati keindahan alam, kesempurnaan ciptaan Allah swt sehingga melahirkan insan-insan seni yang bukan sahaja halus dari sudut pandangan seninya tetapi juga dalam pengabdian dirinya kepada Allah Taala,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam majlis pertandingan Citra Terengganu kali ke-10 di Perkarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini, semalam.

Ustaz Sulaiman Sulong

Pertandingan tersebut yang telah diadakan semenjak 2005 itu, turut akan mendapat komitmen padu daripada kerajaan negeri kali ini melibatkan penyertaan lebih dari 200 peserta dengan kos hadiah sebanyak RM38,250.

"Akhirnya, berdasarkan daripada impak positif, sambutan yang amat menggalakkan, bagi pihak kerajaan Jawatankuasa Pelancongan kita akan menyokong penuh pertandingan ini diteruskan lagi untuk tahun-tahun yang akan datang, kerana ianya bukan sahaja menarik pengunjung untuk datang ke muzium, malahan dapat memberi peluang kepada generasi baru agar dapat menghargai warisan dalam bentuk karya seni lukis,"ujar beliau.

Johan bagi kategori karya siap disandang oleh Mohamed @ Mohamad Hj. Hassan daripada Kuala Lumpur dengan karyanya yang bertajuk "Warisan Seni Pembuatan Bot Tradisional".

Manakala johan bagi kategori karya spontan pula dimenangi oleh Abdullah Ehlid Al-Walid  Luli @ Ehlid Lili daripada Terengganu.



Tag: