• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Cetusan Nostalgia Zaman Persekolahan

KUALA TERENGGANU, 17 September- Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Secara Dalam Talian yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hasil cetusan idea Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Mohamed yang mengimbau nostalgia zaman persekolahan.

Katanya, kenderaan beroda tiga itu merupakan pengangkutan yang selesa dan mengujakan.

"Semasa saya bersekolah rendah sekitar 1970an, saya berulang alik setiap hari ke Sekolah Rendah Tengku Bariah menaiki beca arwah Pok Jaapor. Naik beca arwah Pok Wel 1978-1982 ke Sekolah Pusat Chabang Tiga.

"Pok, tolong hantar saya nok gi pasor payang. Singgah bank dulu, pastu postopih (pejabat pos). Habis pasor payang nok round round (bersiar siar) dalam bandor dulu. Karang ator ah saya balik steseng bas," tulisnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook beliau.

Katanya, pengangkutan ringkas dan mudah begini akan tetap menarik dan kekal relevan di masa hadapan sebagai penghubung antara suatu lokasi ke lokasi khususnya di dalam bandar.

"Saya kerap menyantuni penarik beca di Kuala Terengganu yang rata-rata sudah berumur 70an. Orang muda tak minat. Kerja letih.

"Ia perlu diinovasikan semula. Jadikan menarik, senang, selesa, tak perlu guna tulang empat kerat.

"Kerana itu saya telah minta MOSTI anjurkan Pertandingan Inovasi Beca Terengganu secara dalam talian ini," ujarnya.

Amzad berkata, diharapkan dengan adanya pertandingan tersebut akan muncul idea menarik, berdaya maju yang bakal menjadikan pengangkutan beca mempunyai nilai komersial yang lebih berpotensi selain tarikan pelancongan.

"Mungkin guna teknologi solar, bateri, punya wifi,  atau skrin pilihan destinasi, mainkan lagu lagu menarik selang seli lagu identiti Terengganu seperti Teganung Kiter. Masih kekal beroda tiga.

"Mungkin nanti ada perkhidmatan beca sebegini yang berulang alik hantar pengunjung dari Pasar Payang ke Menara Drawbridge," katanya.

Difahamkan, pertandingan tersebut menawarkan hadiah yang cukup lumayan di mana Rekaan Terbaik akan ditawarkan Geran Pembangunan Maksimum RM200,000 dibawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) manakala 10 pemenang saguhati akan menerima Wang tunai RM1,000.

Maklumat Lanjut di: http://iic innomap.my dan tarikh tutup penyertaan pada 20 September ini.


Tag: