• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perubahan Portfolio Suntik Momentum Pentadbiran Terengganu

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos- Beberapa perubahan besar dalam portfolio pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dilakukan bagi menambah baik tugas dan pelaksanaannya oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau meluangkan masa semalam, meneliti portfolio sedia ada dan menyelesaikan beberapa perubahan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin awal pagi ini.

"Beberapa perubahan dengan mengambil kira kewajarannya, termasuklah supaya ada keselarasan dengan kedudukan badan-badan dan agensi di peringkat kementerian untuk memudahkan pelaksanaan program kerajaan supaya tidak bertembung antara ahli-ahli MMKN.

"Ini adalah mesyuarat pertama di mana semua exco-exco yang mengangkat sumpah semalam, dimaklumkan tentang porfolio masing-masing untuk membolehkan mereka terus bergerak menjalankan tugas masing-masing.

"Saya rasakan ini mesyuarat MMKN yang paling cepat diadakan bagi enam negeri yang di mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini," katanya.

Dalam MMKN yang berlangsung pagi tadi, Dato' Satiful Bahri Mamat kekal memegang portfolio melibatkan pendidikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Begitu juga dengan ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim yang kekal menerajui Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi.

Selain itu, berlaku perubahan pada lapan portfolio lain di mana, Wan Sukairi Wan Abdullah kini menyandang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, portfolio yang pernah dipegang ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak.

Manakala mantan timbalannya di Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim kini dilantik menguruskan portfolio berkenaan.

ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjadi 'muka baharu' yang mengetuai Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula kini memegang amanah mengurus Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau. 

Ariffin Deraman memegang peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, dan Hanafiah Mat mengetuai portfolio Infrstruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar serta diberi kepercayaan mengetuai Pengurusan Bencana.

Dua lagi 'muka baharu' iaitu Maliman Kassim dan Datuk Razali Idris, masing-masing mengetuai Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional serta Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. 


Tag: