• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Perubahan Posisi Semarak Idea Baharu


Oleh: Muhammad Husaif Mamat

KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kerajaan negeri akan meneruskan momentum kecemerlangan negeri melalui perubahan posisi dalaman yang berlaku.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perubahan posisi secara konstruktif akan mewujudkan persekitaran dan gaya kerja yang baharu dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi idea-idea yang segar untuk kebaikan rakyat negeri Terengganu.

"Tahun 2019 adalah tahun yang penuh dengan cabaran dan kejutan, prestasi ekonomi dunia yang tidak menentu akan memberikan kesan kepada negara dan seharusnya kita bersedia dengan inisiatif yang lebih segar.

"Saya mengharapkan dengan kepercayaan di jawatan yang baharu ditambah dengan semangat tahun baharu akan membuahkan hasil-hasil dan inisiatif yang lebih segar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri, baru-baru ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya serta Penasihat Undang-undang Negeri, Azhar Abdul Hamid.

Seramai 95 pegawai tadbir pelbagai peringkat termasuk 16 pegawai kanan kerajaan negeri terlibat dalam pertukaran berkuatkuasa baru-baru ini.

Antara yang terlibat dalam pertukaran posisi itu ialah Samiun Salleh yang ditukarkan dari jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Jawatan Datuk Bandar MBKT akan digantikan oleh Shahidan Embok yang merupakan Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah Besut.

Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah Marang, Mat Azmi Arshad pula bakal bertugas sebagai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Manakala, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Ahmad Azmi Md. Salleh menjawat jawatan Pengarah Yayasan Islam Terengganu.


Tag: