• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Perumahan Mampu Milik RM300 Juta Di Kuala Nerus

KUALA  LUMPUR, 14 Ogos - Anak syarikat milik penuh KPower Bhd, KPower Development Sdn Bhd (KDSB) mendapat kelulusan untuk melaksanakan pembangunan perumahan bercampur pada harga mampu milik bernilai RM300 juta di tanah milik kerajaan Terengganu di pusat pentadbirannya yang baharu di Kuala Nerus.

Kelulusan itu diberikan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Negeri (Bahagian Perumahan).

Projek yang terletak di Lot 100677 yang merangkumi 8.963 hektar serta Lot 100678 yang meliputi kawasan seluas 9.996 hektar di kawasan pentadbiran Kuala Nerus, terdiri daripada 1,200 unit perumahan bercampur-campur dan komersial yang berpatutan, akan dibangunkan secara serentak.

Menurut Kpower, pihak-pihak terbabit dijangka memeterai perjanjian muktamad dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan.

"Kami percaya cadangan nilai yang menggabungkan kemampanan, meningkatkan unsur air yang sedia ada dengan tema hidup yang bersemangat dan selesa dilihat amat sesuai dengan konsep Bandar Moden dan Hijau di bawah Pelan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran Kuala Nerus," kata Pengerusi Eksekutif Kpower, Mustakim Mat Nun, baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan Terengganu telah memutuskan untuk mengecualikan yuran pembangunan bagi projek perumahan yang berpatutan yang dibina di atas hartanah awam mulai April 2022.

Pengecualian itu membantu mengurangkan kos kenaikan harga bahan binaan yang dihadapi oleh pemain industri.

Kpower menambah, pelaksanaan perjanjian ini dijangka akan menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan masa depan kumpulan.

-BERNAMA