• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Perumahan Padang Setengge Dibadai Ribut Akan Dibaik Pulih

HULU TERENGGANU, 7 Julai - Perumahan Padang Setengge yang dibadai hujan ribut pada petang semalam akan dibaik pulih dengan bantuan kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah.

"Alhamdulillah, semalam agensi dan jabatan kerajaan telah bermesyuarat untuk membantu mereka yang telah terjejas akibat ribut tersebut.

"Kita mencapai beberapa perkara, dari segi rumah yang terlibat akan dibaik pulih keseleruhannya dengan bantuan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau suasana perumahan yang rosak di Padang Setengge.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, setakat maklumat terkini ribut semalam telah menyebabkan 91 buah rumah telah rosak.

"14 buah rumah mengalami kerosakan yang agak serius dimana keseluruhan atap rumah tercabut dan kita harapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin," jelasnya.