• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Peruntuk RM21,000 Sebulan Bantu Rakyat DUN Ladang

KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Sekurang-kurangnya RM21,000 setiap bulan diperuntukkan untuk membantu rakyat  yang terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

Peruntukan yang digunakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar itu disalurkan dalam bentuk sistem penebusan baucer barangan dapur dengan nilaian RM100 satu keluarga.

Menurut Pegawai Penyelidik Menteri Besar merangkap Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ladang, Ahmad Kamal Ali, penduduk yang memerlukan bantuan akan dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)

"Setiap bulan JPKK akan menghantar 10 nama penduduk di komuniti masing-masing kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) untuk dibantu, sama ada orang sama ataupun orang berlainan, menjadikan seramai 210 orang satu DUN," ujarnya.

Kata Ahmad Kamal yang ditemui ketika mengadakan lawatan ke Pusat Penebusan Barangan Ladang Sejahtera di Dewan Futsal Gong Gemia.

Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan seumpama itu telah dilakukan sejak Julai 2020 lagi.  

"Di mana jumlahnya tetap sama iaitu RM100, pihak PKM akan menyerahkan baucer kepada JPKK dan JPKK memberikan kepada penerima yang telah dipilih.

"Penerima tersebut akan datang ke Pusat Penebusan untuk mengambil barang yang diperlukan di mana dibaucer tersebut telah dicatatkan harga setiap barangan," jelasnya.

Menurut Ahmad Kamal, cara tersebut dilaksanakan untuk mengelak daripada memberi barangan yang tidak  diperlukan oleh penerima.

"Kalau sebelum ini, dalam pek sumbangan, kita beri susu sedangkan mereka tidak guna  susu tetapi sebaliknya mereka suka gula, jadi hal yang sebegini akan berlaku pembaziran.

"Macam mereka yang mempunyai anak yang ramai memerlukan beras, ada yang ambil hingga tiga bag beras, itu terserah kepada mereka dan kita akan menambah baik kaedah ini dari masa ke semasa," ujarnya.


Tag: