• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Peruntukan RM1.1 Juta Untuk Pemantapan Pertubuhan Belia Negeri

KUALA TERENGGANU, 27 SEPTEMBER – Peruntukan sebanyak RM1.1 juta disalurkan kepada pertubuhan belia di negeri ini bagi merancakkan perkembangan golongan itu sebagai pelapis di masa depan.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha yang digerakkan Pejabat Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu serta Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mampu membina anak muda berkualiti dengan lebih mampan.

"Saya berharap, melalui bantuan ini, pertubuhan-pertubuhan belia mampu merencana aktiviti-aktiviti sihat kepada golongan belia samada di peringkat kampung, daerah atau negeri.

"Semoga semangat dan mesej penting dalam sambutan hari belia negara pada tahun ini sentiasa dihayati dan diterjemahkan dalam setiap usaha kita selaras dengan tema ‘Dekad Ini Dekad Anda'," ujarnya yamg mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort di sini, malam semalam.

Turut Hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirulllah Othman.

Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan, bantuan tersebut adalah kesinambungan daripada tahun lepas dan ia bergantung kepada peringkat persatuan mengikut status. 

Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi berkata kerajaan sedang merangka Pelan Pembangunan Generasi Muda Terengganu Sejahtera 10 Tahun (2020-2030).

"Pelan Pembangunan Generasi Al-Fateh Terengganu pula melibatkan penerapan modul seawal 11 tahun untuk membina asas kecemerlangan belia," jelasnya.