• 20 Okt 2020 | 3 Rabiul Awal 1442

Peruntukan RM41,250 Untuk Ringankan Beban Ulama Terkesan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41,250 bagi membantu 165 para asatizah dan daie (ulama) di negeri ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan secara ‘one- off’ RM250 setiap seorang itu sebagai perghargaan kepada mereka yang sebelum ini mengorbankan masa dan tenaga menyampaikan ilmu kepada rakyat Terengganu.

“Bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan jasa dan bakti ulama, namun diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung para azatizah akibat pandemik COVID-19.

“Semoga anda terus istiqamah menunaikan amanah ilmu yang diberikan oleh Allah, dan doakan saya bersama barisan kepimpinan negeri dapat melunaskan amanah kepimpinan ini berpandukan syariatNya,” ujar beliau ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Dai’e Terkesan Akibat Penularan COVID-19 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Katanya, diharapkan para asatizah juga dapat meneruskan pembudayaan ilmu dan menggerakkan agenda penyatuan serta perpaduan ummah di negeri ini dalam berhadapan dengan cabaran semasa yang sangat mencabar.

“Kerjasama antara pihak kerajaan (umara) dan para asatizah dan daie adalah amat penting bagi mencapai matlamat negeri yang dirahmati Allah,” katanya.


Tag: