• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peruntukan RM5.05 Juta Naik Taraf Kampung Budaya Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.05 Juta untuk projek prasarana di Kampung Budaya Terenganu (KBT) di sini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria berkata kontraktor binaan juga telah dilantik pada 11 Mei lepas bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan di KBT berkenaan.

Katanya, kompenan penambahbaikan itu termasuklah dewan utama yang mana dijadikan sebagai pusat aktiviti utama di KBT ini.

“Di samping, pembangunan landskap dan kemudahan pejalan kaki juga akan diubahsuai untuk keselesaan pengunjung.

“Kerja-kerja awal bagi projek itu dijangka bermula bulan Julai ini dan dijangka siap pada Disember 2024 depan.

“Pihak kami akan menyusun balik aktiviti yang sesuai dijalankan KBT ini sementara dalam proses pembinaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Media Sosial Media PELITER @ KBT 2023 bertempat di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu di sini hari ini.

Tambah Fadli Yusof, operasi serta aktiviti di KBT ini dijalankan seperti biasa namun beberapa bahagian terpaksa ditutup untuk proses pembinaan.

“Pintu belakang dijangka akan dijadikan pintu masuk utama sementara pintu utama dalam proses penambahan baikan.

“Pembangunan landskap lebih kepada tempat rehat, tempat duduk seperti wakaf untuk kegunaan dan keselesaan pengunjung supaya lebih santai,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung Penyampaian Hadiah Pertandingan Media Sosial Media PELITER @ KBT 2023 yang terdiri daripada influencer media sosial.

Para pemenang dipilih melalui jumlah tontonan dan sukaan yang terbanyak dalam video yang mempromosikan PELITER di laman media sosial rasmi miliknya.

 


Tag: