• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Peruntukan Tambahan RM3 Juta Selesai Isu Pelabuhan Chendering

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan RM3 juta kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan isu Pelabuhan Chendering.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah berkenaan merupakan peruntukan tambahan menjadikan jumlah keseluruhan RM7 juta.

"Ini merupakan perbelanjaan awal sebagai memberikan ransangan sementara menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM196 juta.

"Ini bagi memastikan usaha ini terus bergerak untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Pelabuhan Chendering yang merupakan satu-satunya pelabuhan perikanan yang ada di Terengganu kerana yang lainnya itu merupakan jeti pendaratan ikan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjung hormat ke JPS negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, jumlah peruntukan sebanyak RM7 juta secara keseluruhan kepada jabatan berkenaan sebagai usaha serius untuk memastikan segala agenda kebaikan kepada rakyat melalui sektor pertanian dapat dijayakan.

"Apabila ada peruntukan ini semua jabatan yang berada di bawah Kementerian Pertanian ataupun yang membantu kita sebagaimana JPS yang perlu turut sama-sama memikul beban dan menyuntik kekuatan untuk berkerja.

"Kita berterima kasih kepada JPS kerana menjadi antara jabatan yang sangat cepat membelanjakan peruntukan dan cepat memberikan respon kepada setiap isu serta aduan dan mengendalikannya dengan cepat," katanya.