• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Pesaka Ambil Alih Bangunan Permint Plywood


KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pesaka Trengganu Berhad (Pesaka) hari ini menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) bagi mengambil alih bangunan bernilai RM1.2 juta dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Golden Pharos Sdn Bhd (GPB).

Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dato' Nadza Abdul berkata, pembelian bangunan tiga setengah tingkat itu sekali gus menjadikan bangunan yang digunakan sebagai ibu pejabat GPB sebagai sebuah aset baharu kepada Pesaka.

Katanya, SPA yang ditandatangani itu merupakan satu inisiatif Kumpulan GPB untuk menstrukturkan semula dan menyelesaikan hutang lama di antara anak syarikat atau dikenali sebagai "Group Exercise To Restructure Inter-Company Old Debts" (GERICOD).

“Jumlah pembelian bernilai RM1.2 juta itu membolehkan PPSB membuat pembayaran hutang yang ditanggungnya kepada Pesaka serta lain-lain anak syarikat selepas beroperasi kembali mulai pertengahan tahun 2018.

"Jumlah penerimaan pembelian oleh PPSB ini akan dibayar kepada GPB sendiri, GP Dynamic Venture dan juga Golden Pharos Overseas Sales. PPSB juga akan menggunakan sebahagian hasil jualan ini bagi menjelaskan komitmen syarikat yang tertunggak," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli berkenaan, di sini.


Pesaka diwakili Pengerusinya, Wan Hassan Mohd Ramli manakala PPSB turut diwakili Pengerusinya, Maliaman Kassim.

Katanya, inisiatif GERICOD yang dilaksanakan oleh Kumpulan GPB membolehkan anak-anak syarikat mengurang atau menghapuskan hutang-hutang lama antara syarikat dalam kumpulan GPB yang sebelum ini tidak diselesaikan.

Pesaka dan PPSB merupakan anak syarikat milik penuh GPB, anak syarikat kerajaan negeri di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated.

Tag: