• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pesakit COVID-19 Dan Petugas Barisan Hadapan Terima Hidangan Nasi Ayam Sosek

KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Seramai 160 pesakit COVID-19 berisiko rendah yang sedang menjalani proses rawatan dan petugas barisan hadapan kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID (PKRC), Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu menerima hidangan nasi ayam sosek.

Sumbangan juadah kepada pesakit dan petugas barisan hadapan kesihatan itu adalah program Tanggungjawab Sosial Koperat (CSR) Taman Tamadun Islam (TTI).

Pengerusi TTI, Ariffin Deraman berkata, pihaknya membelanjakan kira-kira RM2,500 untuk menyediakan hidangan istimewa itu.

“Hidangan nasi ayam sosek turut diberikan kepada petugas kesihatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Hiliran dan Klinik Kesihatan Manir.

“Kita juga akan mengagihkan bantuan itu kepada pesakit COVID-19, yang sedang menjalani rawatan di PKRC Chendering dan di Institut Pendidikan Guru Dato Razali, Gong Badak serta Hospital Hulu Terengganu (HHT),” katanya ketika menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu, Dr Siti Salmy Mat Nor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraidah Md Nor.

Sementara itu, Dr Siti Salmy berkata, seramai 117 pesakit COVID-19 berisiko rendah sedang menjalani proses rawatan dan kuarantin di PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan sebanyak 262 katil untuk merawat pesakit COVID-19 berisiko rendah dan semua pesakit berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan air mineral yang dikatakan tidak mampu menampung keperluan pesakit, Dr Siti Salmy menjelaskan, bekalan air mineral sudah disediakan kerajaan.

“Bekalan air mineral tidak mencukupi berlaku kerana pesakit menggunakannya untuk dijadikan minuman panas,” katanya.