DUNGUN, 22 September – Selepas dua pendaratan terdahulu hanya meninggalkan jejak dan sarang kosong, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akhirnya merekodkan detik bersejarah apabila berjaya menemui sendiri seekor Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea) bersaiz gergasi mendarat dan bertelur di Pantai Dungun, awal pagi tadi.
Pendaratan spesies marin yang diancam kepupusan kritikal itu disahkan oleh Ketua Daerah Perikanan Dungun, Abd Halim Mat Noor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kehadiran reptilia marin itu disifatkan sebagai sesuatu yang sangat istimewa serta memberi dorongan positif terhadap usaha pemuliharaan khazanah alam negeri.
"Istimewanya, kalau sebelum ini kita hanya mendapati sarang dan bekas jejak sahaja, kali ini petugas Jabatan Perikanan Negeri Terengganu berpeluang berdepan terus dengan ‘tuannya’ iaitu seekor Penyu Belimbing bersaiz besar,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak 77 butir telur telah berjaya dipindahkan secara selamat oleh petugas teknikal ke Santuari Penyu Rantau Abang bagi menjalani proses eraman dan penetasan terkawal. Langkah pemindahan segera ini penting bagi mengelakkan ancaman haiwan pemangsa serta gangguan faktor iklim.
Mengulas mengenai kepentingan spesies berkenaan, Dr. Azman mengingatkan bahawa penyu merupakan antara haiwan purba dari zaman dinosaur yang berjaya bertahan hidup sehingga kini, namun survival mereka kini bergantung sepenuhnya kepada keprihatinan manusia.

Beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat, komuniti nelayan, dan pelancong agar memainkan peranan aktif menjaga kebersihan pesisir pantai serta tidak mengganggu habitat bertelur reptilia berkenaan.
“Pakat jaga, semoga penyu tidak menangis lagi,” tegasnya mengakhiri kenyataan tersebut.