• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pesakit Kronik Dialukan Mohon Bantuan Tabung Darul Iman

BESUT, 1 Julai - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut yang menghidap penyakit kronik diminta supaya memohon Bantuan Tabung Darul Iman (TDI).

Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, ramai lagi pesakit kronik yang belum memohon bantuan TDI kerana mereka menganggap ianya rumit.

“Kerajaan negeri Terengganu mewujudkan bantuan ini untuk membantu meringankan bebanan rakyat yang ditimpa musibah atau kurang bernasib baik.

“Saya berharap penduduk yang ditimpa musibah perlu menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing atau boleh berhubung terus dengan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Besut untuk memudahkan urusan," kata beliau.

Beliau ditemui ketika menyantuni pesakit kronik dan warga emas di Kampung Teluk Bayu, Kampung Pacakan dan Kampung Alor Teratai, semalam.

Menurutnya, penduduk yang mempunyai masalah tidak perlu malu untuk berhubung dengan Pengerusi JPKK yang telah dilantik di kampung.

“Semoga penduduk yang perlu dibantu tidak tercicir atau terlepas pandang,” ujar beliau lagi. 


Tag: