lightning-solid
Berita :
Pesara PDRM Hilang Ditemui Selamat
Pesara PDRM Hilang Ditemui Selamat
Ariss Alias
4 jam yang lepas
66

SETIU, 30 Julai - Seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun di Kampung Ulu Seladang di sini sejak 27 Julai lalu, ditemukan selamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pelbagai agensi, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Setiu Supt. Zahril Asri Mohd. Zain berkata mangsa, Nik Mohd. Ilmumaradin Nik Ismail, 70, dilaporkan keluar dari kediamannya di Kampung Undang, Bukit Payung, Kuala Terengganu untuk ke kebun sebelum gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah. 

Beliau berkata polis menerima maklumat pada 29 Julai mengenai penemuan sebuah motosikal yang ditinggalkan di kawasan kebun Kampung Ulu Seladang. 

"Hasil semakan mendapati motosikal itu milik mangsa yang telah dilaporkan hilang, sekali gus membawa kepada pelancaran operasi SAR hari ini," katanya dalam kenyataan. 

Menurut beliau, operasi itu diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ahmad Badrul Hisyam Ghazali dengan kerjasama PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung. 

Seramai 46 anggota dan petugas dibahagikan kepada enam pasukan pencarian sebelum mangsa ditemukan kira-kira pukul 10.45 pagi dalam keadaan masih hidup, kira-kira 600 meter dari lokasi motosikalnya ditinggalkan. 

Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan hutan dan diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum tindakan lanjut diambil. 

Supt. Zahril berkata IPD Setiu turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat dan penduduk kampung yang memberikan kerjasama sepanjang operasi sehingga mangsa berjaya ditemukan.


Tag :

Artikel Berkaitan