• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pesawah Terjejas Diminta Segera Mohon Bantuan Bencana

MARANG, 17 Februari- Pesawah yang terjejas ekoran hujan lebat baru-baru ini diminta segera membuat permohonan bantuan melalui Jabatan Pertanian.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kejadian hujan lebat itu telah memusnahkan tanaman padi yang diusahakan sekaligus mengakibatkan kerugian kepada pesawah di beberapa kampung.

"Akibat hujan yang turun dengan lebat semenjak beberapa hari yang lepas, ia mengakibatkan tanaman padi di kawasan Kampung Bukit Kulim, Bukit Gading, Kampung Tuman, Bukit Jejulong dan kawasan sekitarnya tumbang musnah. 

"Alhamdulillah, hari ini kita turun untuk berjumpa dengan mangsa dan kita mencadangkan kepada mereka untuk menyegerakan laporan dan permohonan bagi memudahkan proses bantuan.

"Di peringkat Kerajaan Negeri telahpun mengumumkan bahawa Tabung Bencana Pertanian telahpun diaktifkan, jadi kami berharap ia dapat dilaksanakan dan sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban mereka yang menjadi mangsa," ujarnya kepada pemberita.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Fadzli Jaafar 44, berkata,  separuh daripada pesawah di kawasan terbabit terjejas dengan bencana ini. 

"Pesawah disekitar ini kira-kira 50 orang, dan lebih kurang 30 orang daripadanya terjejas akibat daripada insiden ini. Setelah mendapat arahan daripada YB, inshaAllah saya sendiri akan memaklumkan kepada para pesawah untuk segera mengambil tindakan seperti ambil gambar, buat laporan polis serta maklumkan kepada Jabatan Pertanian," ujarnya.


Tag:

Artikel Berkaitan