• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Peserta RTB 'Terkejut' Terima Borang 5A

DUNGUN, 27 September  - Rata-rata peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang tidak menyangka dan terkejut apabila terpilih untuk menerima Borang 5A.

Seorang penerima Rosilawati Shafie, 56, berkata, dia sudah lupa sejak bila permohonan itu dibuat memandangkan ianya sudah memakan masa yang agak lama.

"Saya minta lama dah, masa tu anak yang saya beri hak milik tak ada lagi, sekarang dia sudah berumur 29 tahun, tapi syukurlah, kalau sudah rezeki kita tu, tak ke mana, walaupun dulu kita minta tanah tempat lain, tapi dapat kat Tok Kah," ujarnya ceria. 

Rosilawati yang kini seorang ibu tunggal ditemui wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Borang 5A Bagi RTB Tapak Rumah DUN Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini.

Majlis yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu itu turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang. 

Seorang lagi penerima, Asiah A. Rahman, 59, menceritakan dia sudah tidak berharap akan terpilih menerima Borang 5A kerana berasa tiada harapan.

"Tetapi Alhamdulillah, akhirnya Allah rezekikan saya dapat juga, walaupun masa minta dulu tempat lain, hari ini kerajaan beri tempat lain, tidak apa, tidak kisah, terima kasihlah Yang Berhormat( YB) kita Cikgu Alias," katanya yang menerima Borang 5A RTB Tapak Rumah ByPas.

Sementara itu ADUN Rantau Abang, Alias Harun di dalam ucapan alu-aluannya berkata seramai 209 orang menerima Borang 5A pada majlis penyerahan yang telah masuk kali kedua itu.

" Hendak dapat tanah ini bukanlah mudah, saya sedar ramai di hadapan saya ini telah menunggu sekian lama, jadi harapan saya, penerima-penerima tidak ada hasrat hendak jual tanah yang tuan puan dapat ini, gunalah sebaiknya" katanya.


Tag: