KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menganjurkan Pesta Buku terbesar peringkat negeri Terengganu yang bermula pada 26 hingga esok, 31 Oktober di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata Pesta buku ini paling ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku yang sentiasa dahagakan ilmu setelah kali terakhir diadakan pada bulan Februari 2020 sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh negara.
Katanya, program ini dijayakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPINT) dan Kedai Buku Banggol (KBB).
"Pelbagai pengisian program disediakan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh enam hari pesta buku ini berlangsung dengan pelbagai kategori bermula kanak-kanak hingga dewasa.
“Seramai 54 orang penerbit juga akan turut hadir bagi memeriahkan lagi pesta buku pada kali ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Buku @ PPAT 2022 bertempat di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Tuan Abdul Muie Ngah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.
Tambah Yahaya, antara yang menjadi tumpuan adalah jemputan khas penceramah terkenal ustaz Syamsul Debat bagi mengisi slot motivasi kepada pengunjung yang hadir.
Di samping itu, persembahan busking dan jualan makanan 'food truck' juga turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.
Beliau berkata, masa berlangsung pesta buku ini adalah bermula seawal 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 malam.
“Penganjuran pesta buku ini diharapkan dapat mencetuskan semangat mencintai ilmu khususnya dalam kalangan generasi muda kita.
“Saya ingin menyeru juga rakyat negeri Terengganu supaya mengambil peluang melibatkan diri dalam program ini dengan harapan budaya membaca akan dapat diterus dan disuburkan pada masyarakat kita,” katanya.