• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Pesta Pelita Raya Iringi Malam Tujuh Likur

KUALA TERENGGANU, 10 April – Kemeriahan acara tahunan kalendar pelancongan negeri iaitu Pelita Raya Terengganu 2023 (PeliTer) diteruskan menjelang 10 hingga 18 April dalam 10 akhir Ramadan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, acara berkenaan menjadi produk pelancongan buat negeri ini sejak 2020 bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam.

“Kita memilih untuk mengekalkan Kampung Budaya di Muzium Negeri sebagai lokasi PeliTer 2023 dengan menjanjikan kemeriahan melalui penyertaan lapan daerah yang terlibat.

“Kelainan bagi edisi ini adalah penampilan pelbagai variasi pelita raya yang mungkin tidak pernah dilihat oleh masyarakat moden,” katanya dalam siri Bicara Jabatan Kerajaan di Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Beliau turut memaklumkan, Pihak Berkuasa Tempoatan (PBT) akan menyediakan juadah tradisional berkonsepkan moreh sepanjang acara berlangsung.

Terdahulu, PeliTer 2022 menjadi bualan ramai di media sosial kerana keunikan terhadap pelita raya berasaskan buah kekabu termasuklah dengan jumlah kehadiran pengunjung seramai 20,000 orang.

Kemeriahan Malam Tujuh Likur menjadi tradisi yang kembali dihidupkan dalam menerangi laluan bagi Muslim yang pulang lewat dalam beribadah mengejar ganjaran Lailatul Qadar.


Tag: