• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Petronas Malaysian Cub Prix Model Terbaik Gelembung Sukan

KUALA NERUS, 2 Oktober- Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix mampu diletakkan sebagai penanda aras penganjuran aktiviti sukan dalam norma baharu pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penekanan prosedur operasi standard (SOP) yang amat baik oleh pihak penganjur patut dicontohi.

"Hari ini, kita dapat lihat setiap individu yang memasuki litar ini dikehendaki melalui ujian swab Covid-19 yang ditetapkan penganjur serta aspek-aspek lain dilakukan secara teratur dan lancar.

"Sekiranya begini pengendalian yang dilakukan penganjur, saya amat berpuas hati dan ia boleh menjadi penanda aras gelembung sukan dalam penganjuran acara-acara lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika kunjungan ke kejohanan tersebut di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.

Jelasnya, kerajaan negeri sangat menyambut baik sukan permotoran yang dilangsungkan secara rutin di Terengganu itu, lebih-lebih lagi dengan pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya yakin dengan kerjasama yang baik antara peserta, penganjur dan mereka yang terlibat akan memudahkan kerajaan untuk membuka lebih luas gelembung sukan.

"Sekarang ini, saya boleh katakan semua (penganjur aktiviti sukan) sedang bersedia di garisan permulaan, tunggu pengisytiharan sahaja daripada kerajaan untuk fasa empat (Pelan Pemulihan Negara) dan saya yakin apabila masuk fasa seterusnya pelbagai penganjuran sukan kita akan lakukan," katanya.


Tag: