PETRONAS Pacu Penghutanan Semula Paya Bakau Kertih

KEMAMAN, 11 November - PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menanam 500 anak pokok bakau baharu sepanjang Sungai Kertih bagi menyokong pemuliharaan alam sekitar.

Pengurus Besar Kanan Aset Semenanjung Malaysia PCSB, Hafiz Azzad Zubir berkata, acara Penghutanan Semula Bakau Sentuhan Alam adalah usaha tertumpu dalam pemuliharaan alam sekitar yang turut bermanfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Hutan bakau yang ditanam semula akan berfungsi sebagai habitat pelbagai spesies hidupan laut dan di pada masa yang sama menyumbang kepada kesihatan keseluruhan ekosistem sekeliling.

“Kesedaran ini penting untuk kita mendidik satu sama lain untuk melindungi dan memelihara ekosistem bakau,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, bertempat di Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare dibawah Sentuhan Alam Yayasan PETRONAS, lebih 30 sukarelawan dari PCSB, E&P O&M Services Sdn Bhd dan MNS telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Katanya, bakau adalah penting untuk perlindungan pantai, di samping menjadi tempat pembiakan ikan yang bernilai komersial.

“Sehingga kini, hampir 12,000 pokok bakau telah ditanam di sebuah kawasan ecoCare seluas 14,000 meter persegi di sepanjang Sungai Kertih,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, Penghutanan Semula Bakau Sentuhan Alam merupakan siri program kesedaran yang dianjurkan oleh PCSB’s Peninsular Malaysia Assets selari dengan Yayasan PETRONAS Sentuhan Alam program bertujuan memberikan impak yang mampan kepada masyarakat.