• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PETRONAS Serah Bantuan Persediaan Banjir

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober -Sebanyak 7,000 baju hujan, 1,000 khemah boleh lipat, 700 jaket keselamatan, dan empat bot bersama enjin disumbangkan pihak PETRONAS kepada agensi penyelamat Terengganu sebagai persediaan menghadapi banjir. 

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly  Ramli berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan yang disumbangkan ke 14 negeri seluruh negara oleh PETRONAS. 

“PETRONAS berterimakasih di atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa di dalam usaha menyelamat mangsa banjir selama ini. 

“Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Sumbangan berbentuk peralatan menyelamat dan perlindungan kepada mangsa banjir itu disampaikan oleh kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja di dalam satu majlis ringkas di Wisma Darul Iman di sini. 

Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu, Lt Kol Mohd Rosman Abdullah dan Timbalan Pengarah Bomba, Muhammad Basri  Kamarazaman. 

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada sumbangan bantuan banjir PETRONAS berjumlah RM25 juta yang diumumkan pada Disember 2021.