• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PETRONAS Serah Lapangan Terbang Kerteh Kepada Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan Negeri bersetuju menerima semula tapak Lapangan Terbang Kerteh Kemaman dari PETRONAS sehingga tempoh 31 Mac 2026.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata  untuk itu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi menyelaras, memantau proses penyerahan serta menilai model perniagaan, cadangan pengurusan sebagai persediaan menerima penyerahan lapangan terbang tersebut.

"Kerajaan Negeri melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) untuk meneroka segala potensi serta merangka pelan pengoperasian lapangan terbang itu setelah penyerahan daripada PETRONAS," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Petama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Tingkat U2 Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuat keputusan, bersetuju untuk menerima secara dasar cadangan penyerahan keseluruhan aset yang merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di lapangan terbang tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri juga bersetuju mengekalkan tapak lapangan terbang itu untuk aktiviti berkaitan penerbangan.

"Hasil kajian awal oleh Terengganu Inc yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas mendapati lapangan terbang itu tidak mempunyai potensi yang cukup baik untuk Kerajaan Negeri meneruskan operasi sebagai lapangan terbang dan aktiviti berkaitan penerbangan," jelasnya.

Katanya, jawatankuasa khas itu memutuskan agar Terengganu Inc meneruskan kajian lanjut untuk meneroka potensi dan bidang lain untuk pembangunan seterusnya tapak lapangan terbang itu.

"Saya ingin memberi komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan terus membuat kajian dan penilaian walaupun antara cabaran yang wujud adalah lebih kepada peningkatan kemahiran ekonomi ('economic upskill') dan pulangan pelaburan (return of invesment) sama ada kepada pihak kerajaan ataupun pihak swasta yang ingin meneruskan pelaburan di lapangan terbang tersebut," ujarnya lagi.

 


Tag: