• 30 Nov 2022 | 6 Jamadil Awal 1444

PETRONAS Taja 103 Pelajar Cemerlang Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober  – Seramai 103 pelajar di negeri ini yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2022.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, mereka adalah sebahagian 600 pelajar terpilih daripada 9,000 calon seluruh negara yang memohon penajaan tersebut pada tahun ini.

"Petronas kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara dan pembangunan bakat tenaga kerja kami melalui pelbagai program dan inisiatif selama lebih empat dekad.

“Kami percaya bahawa pendidikan berkualiti akan memperkasakan komuniti, seterusnya menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah masa depan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia, termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program PESP mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion.

“PESP 2022 menyaksikan jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta dalam pengajian asasi sehingga ijazah sarjana muda pertama dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri.

“Mereka ditempatkan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya.