• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air

KUALA NERUS, 28 Ogos – Para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai daerah berkampung di Kuala Nerus bagi membantu memastikan rantaian bekalan air bersih buat penduduk terkesan tidak putus.

Penasihat Jabatan Amal Malaysia (Amal) Dungun, Mohd Fadhil Rahmi Zulkifli berkata, pihaknya telah berkampung di daerah tersebut sejak Khamis lalu bersama 14 anggota lain.

“Tujuan kami datang adalah untuk memudahkan urusan bagi mereka yang terjejas bekalan asas ini, menerusi empat buah kenderaan kita meronda di kawasan yang telah diagihkan seperti di sekitar Padang Nenas dan Kampung Alor Jambu.

“Selain itu, Jabatan Amal daripada daerah Besut dan Marang turut datang berganding bahu dalam inisiatif ini, reaksi orang tempatan cukup bagi memuaskan hati kami.

“Ada yang ternanti-nanti dan memanggil kami, rata-rata penduduk sekitar sini telah banyak merakamkan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemu bual semasa kerja pengagihan air di Kampung Alor Jambu, tengah hari tadi.

Sementara itu, Sekretariat Bantuan Bekalan Air Pemuda PAS Negeri, Mohd Riduan Abu Bakar menjelaskan, 400 orang sukarelawan Pemuda dan anggota Jabatan Amal sedang giat berkhidmat di enam kawasan terjejas termasuk misi agihan bantuan segera sebanyak RM1.25 juta berbentuk air minuman dalam kotak.

“Waktu operasi kita bermula pada 7 pagi sehingga 12 tengah malam, kadangkala kita juga tidak bersengkang mata menyalurkan air pada sehingga 4 pagi bergantung kepada keperluan semasa.

“Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak terlibat dalam penyaluran bekalan asas ini kepada rakyat yang telah banyak bersabar menghadapi musibah ini,” katanya lagi.

Baru-baru ini, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 29,151 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu telah berlaku.

Ia dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September, menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.