• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pewaris Negara Merdeka Perlu Berjiwa Besar

KUALA NERUS, 31 Ogos - Generasi hari ini yang merupakan pewaris negara yang merdeka perlu sentiasa berjiwa besar dan bersemangat patriotik mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, ia bagi memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini akan dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan.

''Ingatlah, perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya kejituan perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi semakin kukuh.

''Marilah kita 'teguh bersama' berusaha menyumbang tenaga, akal fikiran dan doa untuk kita sama-sama menyumbang demi kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan negara Malaysia tercinta,''ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Muara Utara, Tapak Foodtruck, Dataran Jambatan Angkat, di sini, semalam.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada penganjur serta seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan acara itu disambut dengan penuh meriah.

''Diharapkan dengan sambutan hari kebangsaan tahun ini dapat mengukuhkan lagi semangat patriotisme di kalangan masyarakat di negeri Terengganu.

''Marilah sama-sama kita mengibarkan jalur gemilang tanda rasa kasih dan sayang kita kepada negara Malaysia, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Terengganu khasnya, pupuklah semangat perpaduan dan ukhwah sesama kita. Hargailah keamanan dan peliharalah keharmonian demi negara yang tercinta,''ujarnya.

Dalam pada itu sambutan ambang merdeka telah turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api diiringi dengan nyanyian lagu Tanggal 31 Ogos dan jalur Gemilang.

Terdahulu majlis turut diserikan dengan persembahan lagu patriotik oleh artis jemputan Furqan Fawwaz, Hafiz Hamidun dan Aiman Sidek sebaik sahaja forum kemerdekaan Ukhwah Islamiah Melestarikan Intipati Kemerdekaan.

Manakala persembahan sajak kemerdekaan telah disampaikan oleh Asiah Hanim dan Saifuldhari.

Persembahan koir lagu negaraku telah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang.

Sebelumnya, upacara perarakan masuk anggota Rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang dan penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Besar kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSTLDM) .