• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pilih TESDEC Demi Masa Hadapan Lebih Terjamin

KUALA TERENGGANU, 6 Mac- Antara kriteria yang menjadikan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) menjadi rebutan dan pilihan belia dan beliawanis di negeri ini adalah kerana ia menjamin masa hadapan yang cerah untuk para graduannya.

Ia terbukti apabila laporan Ketua Audit Negara pada dua tahun lepas menyatakan hampir 85 peratus pelajar lepas institusi ini telah mendapat pekerjaan hanya dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mengikut bidang masing-masing.

Menurut pelajar terbaik TESDEC, Siti Mariam Jaafar berkata, dari pengalaman yang ditimbanya selama dua tahun dalam kursus jahitan mengakui bahawa latihan yang diberikan mampu untuk menjadikan para pelajarnya memiliki kemahiran tinggi.

"Saya masuk ke sini dahulu saya tiada memiliki apa-apa kemahiran , bermula daripada kosong, namun dengan belajar di sini saya benar-benar menekuni pengajian dalam jurusan yang saya minat ini.

"Saya mengetahui tentang TESDEC ini semasa belajar di Sekolah Menengah Seri Nering, Besut dimana ketika diadakan lawatan ke pusat ini saya memasang impian untuk ke sini.

"Kerana yakin bahawa TESDEC ini telah terbukti melahirkan ramai tenaga mahir, saya berkeyakinan dengan latihan yang diikuti selama ini saya mampu untuk membuka kedai jahitan sendiri, kerana ilmu yang dipelajari telah menjadikan saya mahir untuk menjahit pelbagai jenis pakaian mengikut citrasa terkini.

"Namun, buat masa ini saya hendak cari pengalaman dahulu bekerja dengan majikan, saya yakin apa yang dipelajari selama ini adalah bersesuaian dengan kehendak semasa dan mampu buat yang terbaik untuk majikan apabila diterima bekerja kelak,"ujarnya yang merupakan anak jati Besut.

Siti Mariam berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Konvokesyen Ke-4 dan Pelancaran Jubli Perak TESDEC. di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.

Dimana dalam majlis berkenaan, 126 pelajar telah diberikan sijil kerana telah menamatkan latihan dan seramai 11 graduan akan dianugerahkan sebagai graduan terbaik mewakili kursus masing-masing.

Katanya, kepada mana-mana pelajar yang memasang impian untuk turut menyambung pengajian di institusi berkenaan perlu yakin bahawa sehingga ke hari ini para graduannya telah ramai yang berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi pelajar terbaik, Amir Hamzah Omar berkata, sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus tekad untuk menyambung pengajian di TESDEC dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Automotif kerana yakin mudah mendapat pekerjaan.

"Saya minat dalam bidang ini semenjak di bangku sekolah lagi, itulah diantara mendorong minat saya untuk belajar di sini, serta mengetahui mengenai para graduan di sini semuanya telah mendapat pekerjaan yang baik itu antara faktor yang menjadi pendorong saya.

"Sebagai seorang pelajar di sini saya merasa sangat bertuah kerana menimba ilmu serta pengalaman yang berharga sebagai persediaan untuk bekerja di luar sana, mana-mana yang hendak belajar di sini sangat dialu-alukan kerana pensyarahnya sangat mahir dan berpengalaman dalam bidang  masing-masing.

"Apa yang utama selepas habis menamatkan pengajian di sini pergilah ke mana-mana pun, pasti akan diterima untuk bekerja kerja sijilnya laku dan diiktiraf,"ujarnya.