• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pimpinan Terengganu Cemerlang Martabatkan Islam

KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Pimpinan kerajaan Terengganu sekarang cemerlang dalam memartabatkan Islam dalam pemerintahan.

Penolong Kanan Pesuruhjaya, (Akidah, Syariah dan Tamadun Islam) Bahagian Penyelidikan, JHEAT, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata pelbagai pendekatan diambil Kerajaan Terengganu dalam memperkukuhkan lagi penghayatan agama Islam dalam kalangan rakyat sehingga hari ini.

Katanya, melihat kepada sejarah iaitu Terengganu merupakan antara negeri-negeri Melayu terawal yang menerima Islam di Malaysia sekitar abad ke-13 bahkan lebih awal lagi.

“Pandangan ini dikukuhkan lagi dengan kewujudan Batu Bersurat Terengganu yang ditemui di Kuala Berang.

“Batu bersurat ini jika dilihat pada isi kandungannya jelas memberitahu bahawa menandakan pengisytiharan undang-undang Islam di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 2, Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini semalam.

Tambah Ahmad Azhar, Terengganu juga merupakan negeri pertama yang menguatkuasakan undang-undang syariah secara bertulis.

Jelasnya lagi, sejak dari dulu juga, negeri ini telah mengamalkan amalan kehidupan bersyariat melalui penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Di samping, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membantu dalam mentadbir urus serta mengendalikan hal-hal berkaitan keagamaan.

Sementara itu, beberapa ulama besar juga telah memimpin dan membimbing Terengganu sejak daripada awal pemerintahan lagi.

 


Tag: