• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PITAS 2030 Capai Kejayaan Membanggakan

KUALA TERENGGANU, 21 September - Kerajaan negeri merekodkan pencapaian membanggakan apabila berjaya mencapai 25 daripada 50 objektif yang dirangka di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) sejak dilancarkan pada Julai 2018.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata semua objektif itu adalah hasil idea pelbagai pihak dan telah dibincangkan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Katanya, sebagai tanda keseriusan kerajaan dalam melaksanakan PITAS 2030, kerajaan turut menubuhkan Majlis Tindakan PITAS yang bertanggungjawab mengawal hala tuju, merancang dan memantau perjalanan PITAS 2030.

“Impak PITAS 2030 yang kita sasarkan adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  tahunan sebanyak enam peratus, pendapatan median rakyat RM9,933 dan kemiskinan tegar menurun sehingga 0.1 peratus.

“Perkara lain termasuk pendapatan negeri selain royalti adalah sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan negeri dan turut menjangkakan kadar pengangguran turun sehingga tiga peratus,” katanya ketika bersiaran langsung secara dalam talian melalui TV Darul Iman, hari ini.

Jelas Ahmad Samsuri, dalam PITAS 2030 itu juga,  kerajaan  telah membangunkan 10 teras strategik sebagai kunci untuk menjayakan inisiatif PITAS 2030.

“Teras-teras ini menggabungjalinkan keperluan dalam bidang sosial dan juga bidang ekonomi, sesuai dengan identiti PITAS 2030 sebagai pelan pembangunan yang holistik.

“Daripada 10 Teras Strategik ini, enam daripadanya adalah berkaitan dengan ekonomi dan empat lagi adalah berkaitan dengan sosial,” katanya.

 


Tag: