• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PJKM Catat Jualan RM10.1 Juta Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Terengganu berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah lebih RM10.1 juta sejak 4 Disember 2021 sehingga 12 Ogos 2022.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia, berkata transaksi jual beli itu adalah hasil penganjuran PJKM di 117 lokasi di seluruh negeri yang berjaya direkodkan sepanjang pelaksanaannya.

“Seramai 184,560 pengguna di negeri ini juga telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Ini membuktikan program PJKM berjaya mencapai matlamatnya untuk membantu meringankan beban kos sara hidup terutama buat golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM)  di Pasaraya Q Mart Merbau Patah, di dini hari ini.

PJKM kini telah dijenamakan semula menjadi JMKM dan diperluaskan ke kesemua 600 DUN seluruh negara dan 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, program PJKM yang dilaksanakan di seluruh negara menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus berbanding harga biasa.

Antara barang yang dijual ialah beras, telur, ayam, ikan, sayur-sayuran, beras, tepung, susu dan minyak masak melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sektor peruncitan.

Dalam tempoh itu, Shaharuddin berkata, KPDNHEP bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) agar harga barangan keperluan mampu dibeli rakyat dengan harga berpatutan.