• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih

Foto: Media HANEES

KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), lebih 600 kit makanan telah diagihkan kepada rakyat Terengganu yang dikenakan arahan kuarantin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kit makanan tersebut diagihkan secara berperingkat meliputi pesakit yang dikuarantin di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang menjalani arahan kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Zuraida mengangkut kit makanan untuk diagihkan.

Menurutnya lagi, di samping kit makanan, beberapa makanan asasi seperti beras, minyak dan lain-lain keperluan asas turut diagihkan kepada keluarga yang teruk terjejas kerana arahan kuarantin.

“Ada dalam kalangan rakyat kita yang bekerja dengan gaji harian, jadi bila tidak dapat keluar bekerja kerana mematuhi arahan kuarantin, mereka terputus sumber pendapatan untuk membeli makanan asas, maka kita bantu mereka dengan menghantar bantuan sebegini.

“Beberapa tempat yang telah kami agihkan ialah di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 berisiko rendah di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu dan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Marang, selain pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail (IPG), Batu Rakit.

“Bantuan kit makanan ini juga turut dihantar ke Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kuala Terengganu dan juga ke kediaman-kediaman penduduk yang dikuarantin, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Zuraida turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19 dan mendoakan mereka agar diberi kekuatan dan kesembuhan.

“Saya berharap agar rakyat dapat menghadapi ujian wabak ni dengan positif, insya-Allah yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita.

“Sebenarnya apa yang saya sedang lakukan ini adalah sebahagian daripada cara untuk memberi sokongan fizikal dan mental kepada mereka agar mereka terus kuat.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Cakna Covid-19, sebagai bukti kebersamaan kita untuk melawan virus ini,"tambahnya lagi.

Beliau yang juga merupakan penaung Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) telah mengembleng usaha bersama-sama beberapa pertubuhan yang lain untuk membantu rakyat yang terjejas.

Agihan kit makanan kepada guru MTT.