• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKP : Terengganu Benar Solat Jumaat, Solat Fardu Berjemaah

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, pelaksanaan solat Jumaat di masjid dibenar didirikan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang.

“Iaitu daripada kalangan anak mukim tidak termasuk lmam, Bilal, Ahli Jawatankuasa Masjid dan mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan kepada imam, bilal dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja dengan bilangan tidak melebihi 12 orang,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Sementara itu, Osman turut memaklumkan, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah maghrib, kuliah subuh dan kuliah dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

“Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari semasa ke semasa supaya perlaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dapat berjalan dengan baik.

“Jawatankuasa masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP berkaitan dan arahan yang ditetapkan, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” jelasnya.

Katanya lagi, semua Pegawai Agama Daerah diarahkan untuk membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” tambah beliau.


Tag: