• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PKPB : MB Terengganu Jumpa PM

KUALA TERENGGANU, 18 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi memohon pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terngganu itu ditamatkan lebih awal.

Ahmad Samsuri berkata, langkah pencegahan yang dilaksanakan bermula pada 9 November itu sangat memberi kesan kepada rakyat.

“Sebaik sahaja diumumkan PKPB di seluruh Negeri Terengganu, saya telah mengambil langkah mengadakan perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negeri Terengganu bersama agensi-agensi berkaitan.

“Selain itu, untuk memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan.

“Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad 15 November lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan COVID-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan. Terima kasih kepada beliau yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan hal ini dengan membawa dalam mesyuarat di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri memaklumkan, usaha itu tidak terhenti setakat itu apabila pada hari ini beliau sekali lagi mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu.

“Saya juga memberi alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal daripada jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan Perdana Menteri dari pejabat beliau.

“Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-Allah,” tambah beliau.


Tag: