• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PKPD : 545 Pek Sumbangan Diagih Kepada Peneroka Felda Neram 2

KEMAMAN, 27 Julai - Sebanyak 545 pek sumbangan berupa barangan keperluan makanan diagihkan kepada semua peneroka Felda Neram 2 yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda berkata, sumbangan tersebut bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 yang masih membimbangkan di sini.

"Hari ini saya bersama Pengurus Besar Wilayah FELDA Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab menyerahkan 545 pek sumbangan daripada FELDA kepada semua peneroka Felda Neram 2 .

"Semalam saya dimaklumkan pihak Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Hamid juga ada menyalurkan sumbangan segera melalui JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) untuk mereka yang menghadapi kerumitan terputus bekalan makanan.

"JPKK juga memaklumkan dalam masa terdekat barangan basah juga akan diagihkan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan terlibat dalam agihan berkenaan.

"Terima kasih semua, pihak FELDA, Ahli Parlimen Kemaman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih atas sumbangan segera bagi meringankan bebanan warga peneroka Felda di sini yang terpaksa mematuhi arahan pihak berwajib dalam usaha mengawal penularan Covid 19.

"Terima kasih juga kepada 'frontliner' yang bertugas, pihak polis, Rela, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan semua pihak yang terlibat.

"Sama-sama kita doakan agar segera diangkat musibah ini yang sudah meragut ribuan nyawa di Malaysia," ujarnya.

Felda Wilayah Terengganu memperuntukkan lebih 60 ribu ringgit bagi pengagihan bakul makanan di empat kawasan Felda yang dikenakan PKPD sejak Febuari lalu.

Pengurus Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab berkata setakat ini, 1230 bakul makanan telah diagihkan kepada setiap ketua isi rumah dan pekerja yang dikenakan PKPD.


Tag: