• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

PKPD Besut Dilanjutkan Sehingga 18 Jun

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim di Besut, Terengganu yang sepatutnya berakhir esok (4 Jun), dilanjutkan sehingga 18 Jun depan.

Mukim-mukim terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.

"Sehingga kini, KKM telah melakukan 3,569 ujian saringan dan 281 daripadanya disahkan positif COVID-19.

"KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti tersebut.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu 
bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021," ujarnya dalam satu kenyataan.