• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKPD Di 33 Lokaliti Di Dungun Disambung Lagi

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Sebanyak 33 lokaliti melibatkan dua mukim di daerah Dungun dikenakan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 30 Ogos depan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan COVID-19.

“Antaranya 19 lokaliti di Mukim Kuala Dungun membabitkan Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak Tengah, Kg Molek, Bijangga, Sungai Udang, Sungai Penaga, Kubang Miang dan Teratai.

“Ini termasuk juga Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Tambahnya, turut terkesan adalah 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, Taman Maidam, Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak.

“Selain itu, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang juga dilanjutkan tempoh PKPD,” Jelasnya.

Terdahulu, pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut telah diumumkan sejak 3 Ogos lalu dan sepatutnya dijadualkan berakhir pada esok.