• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PKPD Kampung Teluk Menara, 1,240 Penduduk Jalani Saringan

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kampung Teluk Menara, Manir dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, kerajaan bersetuju untuk mengenakan PKPD di lokaliti-lokaliti terbabit," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Sementara itu berdasarkan infografik di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 44 kes positif Covid-19 direkodkan dalam Kluster Teluk Menara dengan empat kes baharu, hari ini. 

Kluster komuniti itu didaftarkan sejak Jumaat lalu difahamkan gara-gara merentas daerah. 

Dalam pada masa yang sama, seramai 1,240 penduduk Kampung Teluk Menara di Manir di sini diarahkan menjalani saringan bersasar Covid-19 selama dua hari, bermula hari ini. 

Setiausaha Masjid Kampung Teluk Menara, Roslan Mat berkata, beliau bersyukur kerana penduduk kampung memberi kerjasama baik dengan tampil secara  sukarela tanpa dikerah pihak berkuasa seperti yang berlaku di beberapa penempatan lain sebelum ini.

"Pada hari ini, 600 orang telah selesai ujian saringan itu pada hari pertama manakala baki akan disambung esok,"katanya.