• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PKPD Di Mukim Pelagat Bermula Khamis

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Kerajaan mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Pelagat, Besut bermula Khamis ini sehingga 2 Jun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan sebanyak 199 kes positif COVID-19 telah direkodkan sehingga kelmarin.

“Kes tersebut direkodkan di semua lokaliti terbabit (13 Kampung) selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan.

"KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut.

Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, 13 kampung yang terbabit di mukim berkenaan ialah Kampung Alor Selinsing, Kampung Bukit Yong, Kampung Tok Motong, Kampung Lak Lok Dalam, Kampung Lak Lok, Kampung Padang Landak, Kampung Padang Luas, Kampung Padang Luas Hilir dan Kampung Padang Tapong.

"Turut terbabit ialah Kampung Paroh, Kampung Kubang Siam, Kampung Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 & 3," tambahnya.