• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PKPD Kampung Tajin Ditamatkan Esok

HULU TERENGGANU, 24 Jun- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, Kuala Berang ditamatkan mengikut jadual, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  

Menurutnya, KKM telah melakukan 940 ujian saringan dan 52 daripadanya disahkan positif COVID-19.

"KKM  telah mengesahkan berlaku penurunan kes di lokaliti berkenaan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 hingga 25 Jun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

PKPD tersebut membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 kediaman merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi dan terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuala Berang.