• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKPD : Kerajaan Negeri Salur RM400,000 Bantu Penduduk Besut

KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim di daerah Besut, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan sebanyak RM400,000 kepada penduduk terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, peruntukan itu diluluskan sebaik sahaja Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau perkembangan PKPD di daerah terbabit semalam.

“Kerajaan Negeri sangat mengambil cakna tentang perkembangan COVID-19 dalam negeri ini, terutamanya Besut yang telah dikenakan PKPD yang berkuatkuasa bermula semalam sehingga 4 Jun.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan sumbangan RM400,000 kepada penduduk terjejas di kawasan yang dikenakan PKPD.

“Diharapkan bantuan tersebut dapat membantu rakyat yang terjejas terutama dari sudut ekonomi sepanjang tempoh PKPD dikenakan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru agar seluruh rakyat Terengganu untuk terus berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Seluruh rakyat Terengganu sama-samalah kita menjaga diri dan keluarga. Ikuti SOP yang ditetapkan, dan menyokong saranan 'lockdown' kendiri sebagai langkah mengekang COVID-19 di saat ini,” tambah beliau.
 


Tag: